Selasa, 18 November 2014

Kari Siakap

Ikan siakap ni bonda saya pesan kepada Cu At yang keja kat tempat memancing. Harga sekor ni RM 15. Kiranya sekor ni dua kali masak sebab memang besaq ikannya... Minggu lepas separuhnya dibakar n cicah air asam... kali ni dibuat kari... Sedap jugak walaupun biasanya sebelum ni dok masak sweet sour...


Kari Siakap
resepi : rodzita



Bahan-bahannya :

Ikan siakap
2 bungkus serbuk rempah kari
7 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
Air asam jawa secukupnya
Garam secukup rasa
1 biji kelapa (ambil santannya)
Minyak untuk menumis

Bahan tumis :

Bawang merah dan bawang putih (ditumbuk kasar)
Sedikit halba campur
Daun kari



Cara-caranya :

Tuangkan serbuk kari ke dalam bekas...
Tumbuk bawang merah dan bawang putih...  Masukkan ke dalam serbuk kari... Masukkan air asam jawa.....

Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumis... Masukkan ramuan rempah kari yang dicampur bawang dan air asam jawa dan masak sehingga pecah minyak... Masukkan garam secukup rasa.... 

Masukkan ikan... kacau rata... Selepas itu, masukkan santan dan biarkan hingga mendidih... Setelah masak bolehlah diangkat dan dihidangkan... Jangan lupa rasa asam garamnya terlebih dahulu ye...

Isnin, 17 November 2014

Kek untuk jamuan akhir tahun kelas Yusof

Setelah beberapa bulan teratak ni sepi, hari ni baru berkesempatan untuk publish entri... Kali ni nak share resepi kek yang dibuat kelmarin untuk jamuan akhir tahun kelas Yusof... Resepi kek ni diperturunkan daripada bonda saya... Dah lama jugak tak buat kek biasa ni sebab sekarang ni selalu dok buat kek coklat kukus... tapi, memandangkan Yusof nak bawak kek tak coklat... maka, Ummi gigihkan diri masuk dapur jugak la... Ni la hasilnya....


Ok, ni resepinya....

Bahan bahan :

300 gm margerin (boleh juga campurkan margerin dengan butter)
300 gm gula pasir (saya kurangkan sikit sukatannya -50gm)
300 gm tepung gandum
1 sudu baking powder
6 biji telur (saiz A)

Cara-caranya :

1. Ayak tepung bersama baking powder. (ketepikan)
2. Oleskan loyang dengan margerin. (ketepikan)
3. Masukkan margerin dan gula pasir ke dalam bekas dan pukul sehingga kembang.
4. Masukkan telur sebiji demi sebiji diselang-seli dengan tepung yang telah diayak tadi.
5. Gaulkan bahan-bahan hingga sebati.
6. Tuangkan adunan ke dalam loyang.
7. Bakar dalam oven pada suhu 180 - 200 darjah lebih kurang 45 minit.

Khamis, 8 Mei 2014

Kerabu Mempelam Dengan Kaki Ayam

Hari ni baru sempat nak godek Teratak Resepi Ummi... Menu ni dah dua hari lepas sebenarnya... Mula-mula tu nak buat kerabu kaki ayam, tapi my bonda cakap, "Pi la ambik buah pelam sebijik kat pokok." Saya pun cari la pokok yang berbuah, nasib baik la kat reban ayam Pak Lang Din pokok tu rendah ja... takyah guna galah untuk kait... Sebab tu la jadi kerabu mempelam ni..... Ni la hasil air tangan my bonda sebenarnya... Saya just sediakan bahan jer..... :)



Bahan-bahan :

1 biji mempelam(diparut)
10 pasang kaki ayam (direbus dan buang tulang)
1 inci halia
6 biji cili padi (dihiris)
1 kuntum bunga kantan (dihiris)
Sedikit suun (dicelur)
Sedikit kacang tanah (ditumbuk)
Garam dan gula secukup rasa


Cara-caranya :

Rebus kaki ayam hingga masak... Masukkan halia untuk hilangkan bau... Masukkan juga garam... Kena rebus lama sikit sehingga kembang supaya mudah nak ambil isinya nanti... tulang dibuang ye... Dah siap, ketepikan....

Mempelam diparut... cili padi dan bunga kantan dihiris.... Kacang tanah memang dah ada stok yang ditumbuk.... So, semua bahan dah cukup.... Gaulkan semua dan letakkan garam dan gula secukup rasa.... Ok, siap untuk dihidangkan...

Khamis, 6 Mac 2014

Hati Ayam Masak Lada



Bahan-bahannya :
resepi : rodzita

Hati ayam (dipotong dan dibersihkan)
3 biji kentang (dipotong)
Sedikit serbuk kunyit
Sedikit kicap
Minyak secukupnya
1 labu bawang besar (dihiris)
Hirisan cili merah
Garam secukup rasa

Bahan tumbuk :

Sedikit lada hitam
Sedikit jintan manis
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia


Cara-caranya :

Gaulkan hati ayam dengan garam dan serbuk kunyit...

Panaskan minyak di dalam kuali... Goreng hati ayam - tahap kegaringan boleh ikut citarasa masing-masing.... Angkat dan ketepikan....

Tumiskan bahan yang ditumbuk... Masukkan pula serbuk kunyit dan kicap.... Masukkan sedikit air.... Masukkan kentang yang telah dipotong.... Masak hingga empuk.... Biarkan hingga kuah pecah minyak.... Masukkan garam secukup rasa.... Masukkan juga hati ayam yang telah digoreng tadi... Kacau rata... Last sekali, masukkan hirisan bawang besar dan hirisan cili merah... Kacau rata... Setelah bawang besar dan cili layu, bolehlah diangkat dan dihidangkan....

Ahad, 9 Februari 2014

Menu Ketupat di Hujung Minggu




Kali ni just nak publish menu famili kami time cuti hujung minggu kelmarin... Saya cuma terlibat untuk sesi anyam ketupat dan isi beras kat dalam kelongsong ketupat... Tu pun secara beramai-ramai... Mak Teh, Long An, Aiman, Amer, Mak Lang, Ngah Yah, Najwa semua ada... Sesi merebus dan menyediakan kuah hanya bonda dan bonda-bonda saudara saja yang terlibat...

Terkenang kat Tok Wan Aq bila makan sebab Wan suka makan ketupat ni... Famili kami biasanya hidangkan ketupat palas ja time raya... Wan kalau nak makan ketupat ni kena pi Kuar Jawa la...

Dah lama tak makan, sedap pulak... dengan rasa kuah yang agak pedas tu... mmm... Alhamdulillah...

Sabtu, 8 Februari 2014

Masak Lada Siput Kedaya

Siput kedaya ni hasil carian suami kat sungai time memukat ikan kelmarin... suami saya dah kopek ambik isi siap-siap... Saya just masak ja... Cuma kena masak lama sikit sebab isinya agak liat....


Bahan-bahannya :

Siput kedaya (kopek ambil isinya dan bersihkan)
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit lada hitam
Sedikit jintan manis
1 batang serai (diketuk)
Sedikit serbuk kunyit
Minyak untuk menumis
1 labu bawang besar
Hirisan cili kering (cili merah abis stok)
Garam secukup rasa


Cara-caranya :

Tumbuk jintan manis, lada hitam, bawang merah dan bawang putih sehingga halus...

Panaskan minyak di dalam kuali... Tumiskan bahan yang ditumbuk... Masukkan serai yang diketuk.... Masukkan pula serbuk kunyit.... Kacau... Biar hingga bahan tumis garing... 

Dah siap kopek...

Masukkan isi siput kedaya... Masak hingga kering air dan saya biarkan hingga siput masak.... Masukkan garam secukup rasa... Last sekali, masukkan hirisan bawang besar dan hirisan cili... Kacau rata... Setelah bawang besar dan cili layu, bolehlah diangkat dan dihidangkan....


Ahad, 26 Januari 2014

Masak Lemak 'Siput SHELL'

Tadi pi Peremba dengan sepupu saya~Yong... Lepas tu, pi market pulak.... beli bahan nak masak untuk lunch...

Masa kat market tadi, nampak ada siput SHELL... kulit siput ni bentuk macam logo SHELL... ni second time saya jumpa kat market... Beli banyak sikit sebab nak makan beramai-ramai nanti.... Njang and family ada kat kampung... siput SHELL tu, saya buat masak lemak ja... Ok, resepinya kat bawah...




Masak Lemak 'Siput SHELL'
resepi : rodzita

macam logo SHELL
Bahan-bahan :
2.5 kg siput (kopek isinya)
2 biji kelapa (perah santannya-asingkan pati santan)
5 ulas bawang merah (dihiris)
3 batang serai (diketuk)
2 biji keledek (dipotong)
2 keping asam gelugor
Serbuk kunyit
Garam secukup rasa
2 biji cili besar (dihiris)
1 labu bawang besar (dibelah enam)


siap kopek n buang bahagian
yang warna hitam kat isi siput.



Cara penyediaannya pula :

Masukkan santan cair ke dalam periuk... Masukkan bawang merah yang telah dihiris, serbuk kunyit, serai, ubi keledek dan asam keping.... Rebuskan hingga ubi empuk..... Masukkan pula isi siput dan rebus lagi hingga masak... Masukkan garam secukup rasa.... Masukkan santan pekat dan perlahankan api untuk elakkan kuah pecah minyak... Masukkan cili merah yang telah dimayang dan bawang besar..... Biarkan di atas api perlahan seketika..... Dah masak boleh la dihidangkan.......



Khamis, 23 Januari 2014

Bubur Pulut Hitam



Bahan-bahannya :

2 cawan beras pulut hitam
1 genggam beras pulut
Air secukupnya
1 biji kelapa (perah santan-asingkan patinya)
Gula secukup rasa
Sedikit garam
1 helai daun pandan (simpulkan)




Cara penyediaan :

Basuh kedua-dua beras pulut... toskan...

Masukkan beras dan air ke dalam periuk dan rebus sehingga pulut kembang.... Seterusnya, masukkan cantan cair ke dalam periuk.... Masukkan juga daun pandan, gula secukup rasa dan sedikit garam... ... Masakkan.... Apabila mendidih masukkan santan pekat dan kacau.... Biarkan seketika di atas api yang kecil sehingga masak... Pastikan bubur tak pecah minyak... Setelah bubur masak, pastikan rasanya sudah cukup, barulah diangkat dan dihidangkan...

Selasa, 21 Januari 2014

Ketupat Palas

Entri pertama sejak 2014... Tak tau la apa yang bz sangat sampai takdan nak berblog...

Ketupat palas ni dibuat semasa cuti Maulidur Rasul baru-baru ni... Sebenarnya kebetulan saja buat ketupat ni sebab hari Ahad sebelum tu saya ikut cik abang pi kebun n ada beberapa rumpun pokok palas yang berpucuk... Suami saya ambik 7 kaki pucuk palas... dan kebetulan beras pulut pun ada dalam peti ais kat umah... Konon-kononnya nak belajar buat ketupat, tapi akhirnya jadi airtangan masterchef bonda jugak... Maka, saya ni macam biasa la~jadi tukang tolong saja la...tolong perah santan, tolong kacau, tolong balut, tolong rebus dan tolong makan saja.... hehe

Walaupun ketupat palas cuma digandingkan dengan susu pekat manis je... sebab takdan nak me'rendang' dah... tapi, sat ja dah selesai ketupat ni...


Ok, resepinya...
2 kg beras pulut susu
4 biji kelapa (ambil santannya)
Garam secukup rasa
3 helai daun pandan (simpulkan)
Daun palas secukupnya ~dibuka terlebih dahulu... balik keja ari isnin malam saya dah buka siap-siap...
Air secukupnya


Cara-caranya....

Masukkan beras pulut ke dalam bekas... Bersihkan beras pulut dan toskan... ketepikan...

Perah kelapa... Kuantiti santan sama banyak dengan pulut... Saya sukat beras kat dalam bekas... so, santan pun diperah dalam bekas yang sama...

Masukkan santan ke dalam periuk... Masukkan garam dan daun pandan... Masak santan hingga mendidih... Masukkan beras pulut... Masak bersama santan hingga kering... Sentiasa kacau supaya pulut tak berkerak... Setelah separuh masak, angkat dan sejukkan sebelum dibalut...

Balut ketupat ni pun berjemaah... saya, my bonda n ngah... Kalau balut sorang-sorang mau lenguh badan jugak rasanya....

Lepas siap balut, potong hujung daun supaya kemas... Kemudian, letakkan dalam periuk... Masukkan air separas ketupat dan rebus sehingga kering air... Kalau nak mudah, boleh gunakan rice cooker...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...